JANUARI 2022

Ketua Menteri Seru Penjawat Awam Jadi Penggerak PCDS 2030


KUCHING : Ketua Menteri Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Dr Abang Abdul Rahman Zohari Tun Datuk Abang Openg menyeru semua penjawat awam menjadi penggerak kepada Strategi Pembangunan Pasca COVID-19 2030 (PCDS 2030) dengan bersatu memberikan perkhidmatan kerajaan secara bersama.

Katanya, PCDS 2030 merupakan asas kepada kabinet Sarawak dalam usaha menjadikan negeri ini maju serta berpendapatan tinggi menjelang 2030.

Ujarnya lagi, perkhidmatan Sarawak telah mencapai tahap kompetensi dan kematangan untuk membentuk Sarawak bagi tempoh 9 tahun akan datang menuju wawasan PCDS 2030.

“Kerajaan Sarawak yakin dengan strategi PCDS 2030 negeri ini mampu mengembangkan ekonomi pada kadar purata 6 ke 8 peratus setahun,” katanya semasa berucap merasmikan sambutan Hari Perkhidmatan Awam (HPA) Sarawak 2022 bertempat di Pusat Konvensyen Borneo Kuching (BCCK) pada Selasa.

“Aspirasi ini tidak mustahil jika jentera pentadbiran negeri dan jentera pembangunan bekerja sama untuk memastikan semua perancangan dan pelaksanaan program pembangunan, khususnya pembangunan infrastruktur, dilaksanaan dengan cekap,” tambahnya.

Menerusi PCDS 2030, antara sektor yang diberikan penekanan ialah pertanian komersial berteraskan teknologi, pembuatan, perkhidmatan sosial, perhutanan, perlombongan, pelancongan, tenaga diperbaharu dan disokong oleh pembangunan sumber manusia, transformasi digital, pembangunan infrastruktur asas dan utiliti serta inovasi.

Hadir sama dalam majis itu, Timbalan-Timbalan Ketua Menteri, Datuk Amar Douglas Uggah Embas dan Dato Sri Prof Dr. Sim Kui Hian; Speaker DUN Sarawak,Tan Sri Datuk Amar Mohamad Asfia Awang Nassar; Setiausaha Kerajaan Sarawak, Datuk Amar Jaul Samion; Setiausaha Persekutuan Sarawak, Dato’ Amir Omar; Pengerusi Suruhanjaya Perkhidmatan Awam Negeri Sarawak, Datu Abdul Ghafur Shariff; Menteri-Menteri; Menteri-Menteri Muda serta Ketua-Ketua Jabatan Persekutuan dan Negeri. -EDISI UKAS

Sumber dari : UKAS